Tuesday, 14 October 2014

PEMBALAKAN HARAM


                                               
         Hutan boleh disifatkan sebagai suatu komuniti yang lengkap untuk semua jenis hidupan liar seperti tumbuh-tumbuhan  dan haiwan. Anugerah alam semulajadi ini sebenarnya mempunyai peranan yang tersendiri di samping berperanan sebagai penyumbang kepada  peningkatan  sosioekonomi dan kestabilan ekologi. Namun begitu, hutan  di negara kita kini semakin mengalami kepupusan. Hal ini demikian kerana wujud pelbagai faktor yang mendorong sesetengah individu melakukan kegiatan ini secara haram. Fonomena  ini secara  tidak langsung telah mengundang bencana kepada negara.
            Salah satu faktor yang menyumbang kepada aktiviti pembalakan haram ini adalah permintaan yang tinggi terhadap kayu-kayan di Malaysia. Hal ini demikian kerana Malaysia memiliki pelbagai  jenis kayu balak yang diiktiraf berkualiti tinggi seperti kayu jati, cengal, meranti, damar , gam, seraya, jelutong dan sebagainya. Ini dapat dibuktikan sejak tahun 1979, kayu balak menjadi  barang ketiga terpenting selepas getah dan petroleum. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa kayu balak  memiliki nilai yang tinggi dalam pasaran ekonomi dunia.
            Di samping itu, kepesatan industri pelancongan turut menjadi faktor utama pembalakan haram dan kemusnahan hutan. Lazimnya, pembukaan tempat pelancongan baru memerlukan infrastruktur yang banyak untuk didirikan. Contohya pembinaan prasarana seperti jalan raya yang berfungsi menghubungkan tempat pelancongan dengan kawasan bandar berdekatan. Sekiranya pembangunan yang dilakukan ini tidak terncang ,maka ekosistem di kawasan tersebut akan musnah.
Peningkatan aktiviti pembalakan haram ibarat cendawan tumbuh selepas hujan ini sedikit sebanyak telah mengundang kepada kejadian bencana alam seperti banjir lumpur. Perbuatan ini menyebabkan permukaan bumi menjadi gondol dan terdedah kepada hakisan, bahan yang terhakis akan dibawa dan dimendapkan ke dasar sungai. Hal ini menyebabkan sungai menjadi cetek. Apabila hujan lebat, sungai tidak mampu menampung air yang banyak lalu melimpah ke kawasan sekitarnya. Contohnya, banjir yang telah memusnahkan perkampungan orang asli menyebabkan kehidupan masyarakat mereka mengalami penderitaan. 
            Di samping itu, pembalakan haram turut mengakibatkan peningkatan suhu bumi.  Hal ini demikian kerana aktiviti pembalakan haram akan meningkatkan kandungan gas karbon dioksida dalam udara. Gas ini mampu memerangkap haba di atmosfera daripada dipantulkan semula. Fenomena inilah yang menyebabkan peningkatan suhu persekitaran. Keadaan menjadi bertambah teruk apabila kurangnya tumbuhan yang menyerap gas ini. Selain peningkatan suhu, fenomena ini juga turut mengakibatkan kesan rumah hijau dan perubahan suhu setempat.

            Konklusinya, kita hendaklah berkolaborasi antara satu sama lain bagi membendung kegiatan haram  ini daripada terus meragut keindahan alam ciptaan ilahi. Semua pihak terutamanya pihak kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap pesalah yang didapati menjalankan kegiatan pembalakan ini. Orang awam pula hendaklah memainkan dengan melaporkan sebarang pergerakan kenderaan pengangkut balak yang mencurigakan kepada pihak tertentu. Sekiranya kerjasama ibarat aur dengan dilakukan,sudah pasti kegiatan ini di atasi dengan mudah.

KEGANASAN ANTARABANGSA.


            Keganasan antarabangsa dieertikan sebagai penggunaan cara yang ganas,tidak berperikemanusiaan dan zalim seperti pengeboman, pembunuhan, penculikan dan sebagainya  untuk tujuan mendapatkan tuntutan politik daripada sesuatu pihak. Secara amnya, keganasan sebenarnya tidak membawa sebarang faedah atau kebaikan, tetapi  mengheret negara terbabit ke pinggir kemusnahan dan kehancuran. Lazimnya, keganasan ini berlaku kerana didorong oleh beberapa faktor seperti pertentangan ideologi politik, kegawatan ekonomi dan sebagainya. Keadaan ini secara tidak langsung bakal memberi kesan negatif kepada  negara tersebut dalam pelbagai aspek.
Antara kesan daripada keganasan ini ialah keselamatan rakyat tidak terjamin. Hal ini demikian kerana setiap pergolakan dalam persekitaran  politik yang berlaku biasanya akan mengundang  sebuah keganasan. Contohnya, pengucapan yang berapi-api daripada pemimpin mereka dengan niat ingin membakar perasaan para penyokongnya agar  melakukan keganasan serta pemberontakan dan akhirnya mencetuskan sebuah rusuhan yang keras dengan merosakkan pelbagai harta benda awam, pembunuhan terhadap pihak yang didendam malah melibatkan  pihak yang tidak bersalah seperti kaum wanita, kanak-kanak,  orang tua dan sebagainya.
Seterusnya, keganasan antarabangsa juga turut menyebabkan industri pelancongan negara terjejas. Keadaan  ini dapat dilihat melalui perbuatan mereka yang ekstrem seperti merampas pesawat dan  mengebom bangunan pencakar langit yang biasanya dianggap sebagai lambang kemegahan sesebuah negara. Perbuatan ini sebenarnya memberi kesan yang mendalam kepada negara  yang ekonominya  bergantung terhadap industri pelancongan. Wilayah Selatan Thailand  adalah merupakan salah satu contoh negara yang sering bergolak serta mencetuskan keganasan terutamanya di Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla.
Di samping itu, keganasan antarabangsa turut juga menyebabkan pembangunan negara terjejas. Pemimpin  negara kini dilihat lebih mengutamakan dan menumpukan kemajuan pembangunan dalam sesebuah negara. Namun begitu, sekiranya keganasan ini tercetus dan berterusan, maka projek  yang dirancang akan memberi manfaat kepada rakyat terpaksa ditangguhkan sehingga masalah tersebut menemui jalan penyelesaian.
Jesteru,  langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil bagi mengurangkan kekerapan perbuatan ekstrem ini daripada tercetus, langkah pertama adalah  mengadakan kerjasama antarabangsa. Dalam konteks ini, semua negara perlu bekerjasama untuk membanteras keganasan yang mempunyai rangkaian antarabangsa. Misalnya, Jabatan perisikan negara perlu bertukar-tukar maklumat mengenai kegiatan keganasan yang diperoleh.Di samping itu, Negara-negara yang terlibat  dalam keganasan ini juga harus menggiatkan latihan bersama pihak polis dan tentera agar keganasan berupa rusuhan atau sebaliknya dapat dikawal dengan baik.
Langkah kedua adalah dengan mengamalkan sikap kerjasama dan tolak ansur antara satu sama lain. Pihak pembangkang dan rakyat sesebuah negara tidak harus menuntut sesuatu yang diingini dengan keterlaluan daripada pihak kerajaan. Ini bermakna  segala hal atau masalah yang wujud hendaklah diselesaikan dengan cara rundingan. Perbuatan  seperti mengadakan tunjuk perasaan, merusuh, melakukan keganasan untuk mencapai sesuatu yang diingini tidak akan berhasil malah akan mengucar-kacirkan serta meruntuhkan sistem politik,ekonomi dan sosial negara.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa keganasan antarabangsa merupakan suatu perbuatan yang negatif  kerana boleh menjatuhkan maruah bangsa  serta   berupaya meruntuhkan institusi pentadbiran negara sekaligus  mendorong  negara tersebut ke arah kemusnahan dan kehancuran dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

Friday, 10 October 2014

Kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin Di Malaysia (PATI).

              Pendatang Asing Tanpa Izin atau sinonimnya disebut sebagai (PATI) merupakan golongan atau kelompok manusia yang memasuki serta tinggal di sesebuah negara secara haram. Secara haram yang dimaksudkan adalah tidak mengikut undang-undang migrasi disesebuah negara,contohnya individu yang masuk ke negara ini tanpa sebarang permit yang sah dan tidak melalui pintu masuk utama negara. PATI ini datang daripada pelbagai negara, contohnya Bangladesh, Kemboja,  India, Indonesia, Thailand dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, Malaysia sebenarnya tidak terkecuali daripada masalah ini. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai faktor yang mengundang mereka masuk ke Malaysia. Oleh sebab itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk mengekang masalah ini daripada terus berleluasa.
            Faktor utama yang menyebabkan mereka masuk ke Malaysia secara haram adalah kerana faktor peluang pekerjaan yang banyak di Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia kini semakin pesat membangun saban tahun. Keadaan ini secara tidak langsung telah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Malangnya, rakyat Malaysia tidak pandai memanfaatkan peluang dan ruang yang ada, lantas rakyat luar seperti PATI mencuba nasib untuk bekerja di sini atas alasan pendapatan yang diperoleh di Malaysia lebih tinggi sehingga mencecah  ribuan ringgit setiap bulan berbanding kadar upah yang diterima oleh mereka di negara asal mereka.
            Faktor seterusnya adalah disebabkan oleh kadar kemiskinan dan pengangguran di negara asal mereka. Kebanyakan mereka yang terpaksa bekerja di Malaysia adalah semata-mata untuk menyara keluarga mereka di kampung. Hal ini secara tidak langsung menjadi peyunting semangat kepada  mereka untuk bekerja keras di negara ini dan berusaha mengumpul harta sebanyak yang boleh terutamanya wang untuk dihantar pulang ke negara mereka bagi memastikan kehidupan ahli keluarga mereka hidup dalam keadaan yang baik. Walaupun bidang pekerjaan yang diceburi mereka berisiko seperti menjadi buruh binaan, namun atas rasa tanggungjawab mereka sanggup mengorbankan diri.
            Di samping itu, faktor  sikap majikan tempatan yang mementingkan keuntungan juga mendorong mereka untuk datang ke Malaysia. Lazimnya, sektor pekerjaan yang menggunakan kos yang tinngi akan berusaha sedaya upaya mereka untuk meminimumkan kos syarikat. Keadaan ini menyebabkan mereka lebih berminat menawarkan peluang pekerjaan kepada PATI tanpa memikirkan sebarang kesan ke atas diri mereka dan negara. Oleh kerana kos upah rendah, majikan akhirnya mampu dan dapat menjimatkan kos pengeluaran wang syarikat di samping memperoleh keuntungan yang lebih lumayan.
Jesteru, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil oleh pihak  yang terlibat untuk mengekang masalah ini daripada terus berleluasa. Antara langkah yang wajar diambil adalah dengan berusaha meningkatkan kawalan dan  pengawasan keselamatan negara terutama di kawasan pinggiran pantai dan sempadan negara Malaysia. Badan-badan beruniform khasnya seperti pihak Imigresen, polis marin, tentera laut dan sebagainya perlu bekerjasama dengan menggiat dan mengesan tempat-tempat yang sering diceroboh masuk oleh PATI ke negara ini.Melalui usaha yang berterusan ini, keberangkalian untuk mengurangkan kemasukan PATI secara berleluasa di negara ini akan dapat dikurangkan.
            Langkah yang seterusnya ialah dengan memperketatkan semula penguatkuasaan  undang-undang yang sedia ada. Pihak-pihak tertentu yang terlibat perlu lebih memandang serius terhadap masalah ini dengan mengenakan hukuman dan denda yang setimpal ke atas majikan atau firma-fima yang mengupah PATI bekerja di negara ini. Contohnya dengan mengenakan hukuman penjara beberapa tahun dan mendendakan mereka  ini dengan wang ringgit serta mengantung terus lesen perniagaan tesebut. PATI ynag berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa pula perlu dihantar pulang ke negara asal mereka semula dan menyenarai hitam nama mereka agar mereka tidak boleh masuk ke negara ini lagi kelak.    
              Langkah yang terakhir ialah masyarakat perlu memainkan peranan dengan memberi kerjasama yang padu ibarat aur dengan tebing untuk megurangkan masalah kebanjiran PATI di  Malaysia. Kerjasama yang dimaksudkan adalah setiap lapisan masyarakat yang terdiri daripada  berbilang kaum, agama ,budaya dan sebagainya  harus memberi sokongan moral  yang tinggi ke atas setiap operasi yang dijalankan oleh pihak-pihak berkuasa dan bukannya memberikan kritikan atau kutukan yang negatif dalam usaha mengurangkan  masalah ini. Hal ini demikian kerana masyarakat merupakan nadi dan tunjang kepada sesebuah  negara dan akan menetukan jatuh bangunnya sesebuah negara itu.
            Secara keseluruhannya, kemasukan pendatang asing tanpa izin di Malaysia semakin meningkat saban tahun. Oleh itu, semua pihak  termasuklah kerjaan harus memandang serius terhadap masalah dengan segera mengambil tindakan untuk memastikan kebanjiran PATI di negara ini tidak akan terus kronik dan secara tidak langsung akan memberi kesan negative terutama ke atas imej negara dalam aspek ketenteraan.