Tuesday, 14 October 2014

KEGANASAN ANTARABANGSA.


            Keganasan antarabangsa dieertikan sebagai penggunaan cara yang ganas,tidak berperikemanusiaan dan zalim seperti pengeboman, pembunuhan, penculikan dan sebagainya  untuk tujuan mendapatkan tuntutan politik daripada sesuatu pihak. Secara amnya, keganasan sebenarnya tidak membawa sebarang faedah atau kebaikan, tetapi  mengheret negara terbabit ke pinggir kemusnahan dan kehancuran. Lazimnya, keganasan ini berlaku kerana didorong oleh beberapa faktor seperti pertentangan ideologi politik, kegawatan ekonomi dan sebagainya. Keadaan ini secara tidak langsung bakal memberi kesan negatif kepada  negara tersebut dalam pelbagai aspek.
Antara kesan daripada keganasan ini ialah keselamatan rakyat tidak terjamin. Hal ini demikian kerana setiap pergolakan dalam persekitaran  politik yang berlaku biasanya akan mengundang  sebuah keganasan. Contohnya, pengucapan yang berapi-api daripada pemimpin mereka dengan niat ingin membakar perasaan para penyokongnya agar  melakukan keganasan serta pemberontakan dan akhirnya mencetuskan sebuah rusuhan yang keras dengan merosakkan pelbagai harta benda awam, pembunuhan terhadap pihak yang didendam malah melibatkan  pihak yang tidak bersalah seperti kaum wanita, kanak-kanak,  orang tua dan sebagainya.
Seterusnya, keganasan antarabangsa juga turut menyebabkan industri pelancongan negara terjejas. Keadaan  ini dapat dilihat melalui perbuatan mereka yang ekstrem seperti merampas pesawat dan  mengebom bangunan pencakar langit yang biasanya dianggap sebagai lambang kemegahan sesebuah negara. Perbuatan ini sebenarnya memberi kesan yang mendalam kepada negara  yang ekonominya  bergantung terhadap industri pelancongan. Wilayah Selatan Thailand  adalah merupakan salah satu contoh negara yang sering bergolak serta mencetuskan keganasan terutamanya di Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla.
Di samping itu, keganasan antarabangsa turut juga menyebabkan pembangunan negara terjejas. Pemimpin  negara kini dilihat lebih mengutamakan dan menumpukan kemajuan pembangunan dalam sesebuah negara. Namun begitu, sekiranya keganasan ini tercetus dan berterusan, maka projek  yang dirancang akan memberi manfaat kepada rakyat terpaksa ditangguhkan sehingga masalah tersebut menemui jalan penyelesaian.
Jesteru,  langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil bagi mengurangkan kekerapan perbuatan ekstrem ini daripada tercetus, langkah pertama adalah  mengadakan kerjasama antarabangsa. Dalam konteks ini, semua negara perlu bekerjasama untuk membanteras keganasan yang mempunyai rangkaian antarabangsa. Misalnya, Jabatan perisikan negara perlu bertukar-tukar maklumat mengenai kegiatan keganasan yang diperoleh.Di samping itu, Negara-negara yang terlibat  dalam keganasan ini juga harus menggiatkan latihan bersama pihak polis dan tentera agar keganasan berupa rusuhan atau sebaliknya dapat dikawal dengan baik.
Langkah kedua adalah dengan mengamalkan sikap kerjasama dan tolak ansur antara satu sama lain. Pihak pembangkang dan rakyat sesebuah negara tidak harus menuntut sesuatu yang diingini dengan keterlaluan daripada pihak kerajaan. Ini bermakna  segala hal atau masalah yang wujud hendaklah diselesaikan dengan cara rundingan. Perbuatan  seperti mengadakan tunjuk perasaan, merusuh, melakukan keganasan untuk mencapai sesuatu yang diingini tidak akan berhasil malah akan mengucar-kacirkan serta meruntuhkan sistem politik,ekonomi dan sosial negara.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa keganasan antarabangsa merupakan suatu perbuatan yang negatif  kerana boleh menjatuhkan maruah bangsa  serta   berupaya meruntuhkan institusi pentadbiran negara sekaligus  mendorong  negara tersebut ke arah kemusnahan dan kehancuran dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

No comments:

Post a Comment